You are hereBlogs / Maarof Salleh's blog / MEMBETULKAN SALAH FAHAM PADA ISLAM
MEMBETULKAN SALAH FAHAM PADA ISLAM
Makalah berikut diterbitkan di Berita Harian Singapura pada 7 Oktober 2011.
Oleh Maarof Salleh
MENGAPAKAH masih terdapat kekeliruan atau salah faham yang ketara terhadap beberapa ajaran dan gagasan Islam?
Ini bukan sahaja berlaku pada kalangan penganut agama lain, malah di kalangan umat Islam sendiri, termasuk cerdik pandainya.
Antara sebabnya ialah akibat pengaruh tulisan para orientalis yang mempunyai agenda memusuhi Islam. Mereka akan kekal dengan pendirian itu kecuali mahu membuat penilaian semula secara objektif.
Namun, mengapakah di kalangan Muslim sendiri masih ada yang mengongsi prasangka Barat yang membuat mereka terus terjerumus dengan kekeliruan dan salah faham itu?
Padahal banyak yang sudah dijawab atau dijelaskan seperti menerusi penerbitan pelbagai buku yang meluas edarannya.
Contohnya, buku berjudul Syubuhat Hawla Al-Islam karangan pemikir Muslim dan pengarang buku terkenal, Muhammad Qutb (1919- sekarang), dalam bahasa Arab dan mula terbit pada 1955.
Buku ini diterbitkan dalam bahasa Inggeris berjudul Islam: The Misunderstood Religion (diterjemah pula ke bahasa Indonesia sebagai Salah Faham Terhadap Islam).
Buku ini sudah melebihi 30 edisi Inggeris dan tersebar di seluruh Dunia Islam sepanjang 1964 hingga 2000. Beberapa bab buku itu juga pernah diterbitkan di Internet.
Muhammad Qutb ialah adik Syed Qutb, pengarang kitab tafsir Fil Zilalil Quran. Beliau menumpukan banyak masanya, setelah dibebaskan dari penjara Mesir pada 1972, di bidang akademi di Arab Saudi, termasuk menjadi tenaga pengajar di Universiti Umm Al-Qura di Makkah.
Menurutnya, buku itu ditulis untuk Muslim dan bukan Muslim, istimewa untuk para belia yang ikhlas mahu mencari realiti dan kebenaran tetapi telah dikelirukan dengan kesangsian dan kebohongan yang disebarkan kuasa-kuasa imperialistik Barat.
Tumpuan utamanya ialah menjawab tohmahan Barat yang banyak mengelirukan minda generasi muda dengan maksud meracun pemikiran mereka supaya percaya bahawa Islam merupakan agama yang tidak sempurna dan tidak lengkap.
Muhammad Qutb melihat adanya keghairahan yang melampau pihak Barat membenci Islam sehingga mengambil sikap mahu terus memeranginya. Matlamat utamanya ialah menimbulkan sikap pemujaan ke atas Barat dan tamadun yang dibawanya.
Atas kesedaran inilah, buku Muhammad Qutb itu mendedahkan serta menganalisis satu-persatu persepsi salah yang sengaja diuar-uarkan pihak imperialistik Barat.
Antara salah faham Barat terhadap Islam yang dibahaskannya adalah gagasan perhambaan dalam Islam, takrifan kebebasan atau kemerdekaan, larangan ke atas alkohol, sistem ekonomi dan pembangunan kekayaan.
Bagaimanapun, serangan paling hebat yang dilancarkan Barat ialah kepada apa yang Barat sifatkan sebagai sikap memandang rendah atau layanan buruk yang diajarkan Islam kepada wanita.
Barat mendakwa Islam sebagai menganjurkan gagasan yang sifatnya menghina dan merendahkan martabat wanita - berbeza daripada 'penghargaan dan kemuliaan' yang Barat berikan kepada wanita mereka.
Persepsi itu digambarkan menerusi beberapa persoalan yang bertujuan mengelirukan, seperti:
· Di manakah tempat sebenarnya bagi wanita?
· Mengapakah wanita terpinggir dalam menyertai urusan negara seperti dalam pemerintahan dan ekonomi?
· Mengapakah ada peraturan menetapkan perlunya dua wanita sebagai sama dengan satu lelaki sebagai saksi dalam undang-undang?
· Mengapakah diizinkan isteri dipukul suami?
· Di manakah pula tempat yang layak bagi wanita bekerja?
Satu lagi serangan hebat Barat ke atas Islam ialah persepsi yang mendakwa ajaran Islam menganjurkan umatnya enggan atau sukar bekerjasama atau bertoleransi dengan penganut lain.
Makalah ini tidak bermaksud menurunkan satu-persatu penjelasan Muhammad Qutb kerana bukunya boleh anda baca sendiri.
Yang difokuskan ialah: mengapakah wujud kekeliruan dan salah faham yang berterusan di kalangan ummah walaupun sudah diberi penjelasan?
Menerusi paparan di media, kita masih melihat beberapa episod layanan buruk sesetengah masyarakat Islam ke atas kaum wanita mereka.
Terdapat laporan bahawa birokrasi syariah di beberapa negara majoriti Muslim dikatakan berat berpihak kepada kaum lelaki sehingga kes perceraian menjadi tertangguh sedemikian lama.
Penangguhan yang lama itu menimbulkan pelbagai kesukaran kepada pihak isteri.
Dalam masyarakat Muslim di negara-negara Arab, Indo-Pakistan dan Afrika, terdapat banyak kejadian kahwin paksa - anak perempuan tidak mempunyai langsung hak memilih jodoh pilihan mereka.
Segelintir yang bijak berjaya membebaskan diri dan lari daripada cengkaman keluarga masing-masing. Malah, ada yang menjadi penentang kuat tradisi kaum dan agamanya.
Terdapat dakwaan berlakunya pentakrifan hukum agama yang dikatakan menindas kaum wanita.
Inilah antara latar belakang yang menimbulkan reaksi balas dendam seperti peristiwa Dr Aminah Wadud di Amerika Syarikat yang bertindak menjadi imam di solat berjemaah (termasuk makmum lelaki) pada Mac 2005.
Atau, tengkarah yang berlaku di Arab Saudi baru-baru ini berupa hukuman sebat yang dijatuhkan sebuah mahkamah negara itu ke atas seorang wanita kerana kesalahan memandu.
Mujurlah hukuman itu digugurkan atas perintah Raja Abdullah.
Amalan yang dicontohkan di atas serta beberapa amalan lain yang masih terdapat dalam kehidupan sesetengah masyarakat Islam sering ditukil untuk menyelar Islam dan umatnya.
Jika diteliti, semua amalan tadi lebih bersifat tradisi masyarakat - bukannya suruhan agama. Misalnya, larangan memandu ke atas wanita di Arab Saudi diakui bukan satu perintah agama tetapi tradisi dalam masyarakat Saudi.
Islam melarang wanita dikahwin paksa. Tetapi hal ini berlaku kerana tradisi yang bercampur mitos.
Namun, usahlah pula kita terjerat dengan soal kebebasan wanita sehingga akhirnya menjerat diri sendiri.
Misalnya, keinginan 'mengembalikan' martabat wanita membuat mereka mengambil langkah-langkah memberikan wanita kedudukan dan fungsi yang sama dengan lelaki dalam setiap bidang.
Akibatnya, seperti di Barat, wanita menjadi pesaing kepada lelaki, bukan pendamping atau pelengkap seperti yang difitrahkan kejadian mereka.
Dulu, soal azan yang kuat dari masjid telah ditegur di kalangan penduduk bukan Muslim.
Namun, sesetengah orang Islam berhujah bahawa masjid sudah lebih lama dibangunkan berbanding kawasan perumahan yang baru.
Oleh itu, lebih munasabah penduduk yang baru itu 'alah bisa, tegal biasa' atau menghormati hak penganut Islam.
Mujurlah isu ini dapat diselesaikan selepas azan boleh didengarkan di radio dan kini notis azan boleh diperolehi di telefon bijak.
Sikap memaksakan hak diri kerana 'sudah sedia lama di situ' dan menganut 'satu-satunya agama yang diterima Allah' tanpa mengambil kira pertimbangan lain juga bukan satu arahan agama.
Islam menganjurkan berfikiran secara rasional berdasarkan lunas-lunas syariah dan bukan tradisi yang seharusnya sudah lama terkikis.
Penghuraian kepada masalah ini harus menerusi pembetulan sikap bagi menjernihkannya daripada prasangka dan salah faham yang berterusan, baik di kalangan bukan Muslim mahupun Muslim sendiri.
- Maarof Salleh's blog
- Login or register to post comments







