You are hereBlogs / Maarof Salleh's blog / TUJUAN BAIK DAN CARA PUN MESTI BAIK

TUJUAN BAIK DAN CARA PUN MESTI BAIK


By Maarof Salleh - Posted on 01 November 2011

Printer-friendly versionSend to friendPDF version

Makalah berikut diterbitkan di Berita Harian Singapura pada 14 Oktober 2011
 
Oleh Maarof Salleh
 
MEMPUNYAI niat atau tujuan yang jelas penting dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan.
 
Jika anda berada di sesuatu tempat dan jelas tujuan atau arah mana yang hendak dituju, anda akan lebih pasti memilih cara paling mudah dan selamat menuju ke destinasi anda itu.
 

Benar, tanpa kejelasan (seperti peta) anda masih boleh mencuba-cuba tuah untuk sampai ke destinasi sebenar.
 
Namun, dalam realiti kehidupan, berapa kalikah anda berpeluang mencapai sesuatu yang anda impikan secara menduga-duga atau kebetulan?
 
Niat atau tujuan membantu mengurangi kemungkinan anda berhadapan dengan pelbagai risiko bahaya yang memang ingin anda hindari.
 
Nabi Muhammad saw bersabda dalam hadis riwayat Bukhari dan Muslim:
 
'Tindakan adalah apa yang diniatkan (yang dijadikan tujuan) dan setiap orang akan hanya memperoleh menurut apa yang dia niatkan (atau menjadikan tujuannya).'
 
Hadis itu berlatarbelakangkan peristiwa seorang lelaki yang turut berhijrah dari Makkah ke Madinah tetapi dengan tujuan menyertai seorang perempuan yang ingin dikahwininya.
 
Padahal berhijrah adalah satu perintah agama yang dilaksanakan demi Allah swt dan Rasul-Nya.
 
Lelaki itu mendapat ganjaran sekadar apa yang dia niatkan atau jadikan tujuan.
 
Terdapat juga hadis yang menyatakan orang yang berniat melakukan sesuatu keburukan tetapi tertunda, maka selagi itulah tiada catatan dosa baginya. Jika kemudian dia membatalkan niat buruknya, akan dicatatkan pula kebaikan untuknya.
 
Sebaliknya, orang yang berniat melakukan sesuatu kebaikan tetapi belum menyempurnakannya, dia sudah beroleh satu catatan kebaikan.
 
Jika dia kemudian melakukan kebaikan yang menjadi niat atau tujuannya itu, kebaikan tambahan akan dicatatkan lagi untuknya.
 
Satu lagi prinsip yang diajarkan Islam mengenai niat atau tujuan ialah suatu tujuan yang baik itu mesti dilaksanakan untuk mencapainya dengan cara yang baik.
 
Anda mungkin pernah mendengar kisah Robin Hood atau personaliti serupa didongengkan amat membela golongan tertindas sehingga sanggup merompak si kaya untuk diberikan hasilnya kepada si miskin.
 
Islam melarang tujuan dan cara menghulur kebaikan ala Robin Hood.
 
Walaupun bersedekah kepada golongan fakir miskin itu satu tuntutan agama, ia tidak boleh dibuat dengan harta daripada cara dan sumber yang haram.
 
Sedekah anda kepada fakir miskin mestilah datang daripada sumber dan usaha yang halal untuk diterima sebagai satu kebaikan yang sah.
 
Tanpa berhati-hati, kita mungkin terjebak dengan amalan yang melanggar prinsip Islam itu, terutama dalam kehidupan sosial dan politik.
 
Sebuah pepatah Inggeris mengatakan: If you can't beat them, join them. ('Jika anda tidak berdaya alahkan mereka, sertai mereka.')
 
Penghayatan kepada makna pepatah ini nampaknya telah menjadi amalan kehidupan masa kini terutama dalam aspek politik.
 
Misalnya, ada orang menyertai sesuatu kumpulan atau kepimpinan yang pada mulanya ditentangnya secara keras atas sebab melaksanakan dasar yang mungkar.
 
Dia kemudian menyertainya dengan tujuan mahu merubah dan memperbetul keadaan dari dalam.
 
Namun, kerap kali pula berlaku kesudahan yang berlawanan. Orang yang mahu merubah keadaan mungkar tadi ternyata gagal dalam misinya, malah dirinya terjebak pula akibat kelemahan dirinya.
 
Beberapa prinsip lain yang sama turut berlaku dalam politik yang menjejas ketahanan niat atau tujuan yang baik.
 
Misalnya, prinsip yang mengatakan dalam politik tiada rakan atau musuh yang kekal. Musuh hari ini boleh menjadi rakan hari esok, demikian sebaliknya. Semua boleh berubah jika terdapat keuntungan yang boleh diraih daripadanya.
 
Paling menonjol ialah prinsip yang membolehkan apa cara pun dipakai demi mendapatkan kuasa dan mengekalkannya.
 
Prinsip itu dikaitkan dengan anjuran Niccolo Machiavelli (1469-1527), seorang sejarawan, filosof, humanis dan penulis bangsa Italy yang berpangkalan di Florence dan hidup di zaman Renaissance (Kebangkitan).
 
Dalam dunia intelektual Barat, Machiavelli dianggap antara pengasas sains politik moden.
 
Prinsip politiknya itu terkandung dalam bukunya, Il Principe (lebih dikenali dengan judul 'The Prince').
 
Buku itu menumpukan pada pembahasan kemungkinan mewujudkan seorang new prince ('putera yang baru').
 
Menurut Machiavelli, tidak seperti anak raja (putera) ikut keturunan (hereditary prince) yang harus berhati-hati mengekalkan institusi sosiopolitik yang telah biasa di kalangan rakyatnya, 'putera yang baru' (new prince) mempunyai tugas lebih sukar memerintah.
 
Ini kerana putera baru mesti memantapkan dahulu kuasa baru yang diraihnya demi memastikan struktur politik yang dibinanya dapat bertahan lama.
 
Untuk tujuan tersebut, 'putera baru' bukan sahaja perlu prihatin membina kuasanya, bahkan tega bertindak secara tidak bermoral.
 
Sebagai pemain politik ketika itu, Machiavelli menekankan keperluan pihak yang ingin mengekalkan kuasa menggunakan kaedah yang menggunakan kekerasan, penipuan dan yang sepertinya.
 
Inilah prinsip politik yang dikenali sebagai the end justifies the means atau 'tujuan menghalalkan cara'.
 
Golongan agama dan penegak nilai moral pasti tidak senang dengan prinsip politik demikian.
 
Gereja Katolik dalam era Kebangkitan Eropah telah mencemuh anjuran Machiavelli.
 
Namun, prinsip Machiavelli tersebar dalam dunia politik moden di serata dunia.
 
Di Barat, misalnya, terdapat Adolf Hitler (1889-1945) dengan impiannya menguasai jagat sehingga mencetuskan Perang Dunia Kedua.
 
Selepas perang pun, masih muncul para pemimpin berprinsip Machiavelli di pelbagai tempat di dunia.
 
Demi kuasa, para pemimpin demikian telah melaksanakan apa juga cara termasuk menindas rakyat yang kini memberontak di beberapa negara sekarang.
 
Itulah hikmahnya mengapa Islam menolak prinsip yang membenarkan cara kejam dan tidak bermoral dipakai bagi tujuan mengekalkan kuasa.
 
Sebaliknya, Islam menegaskan bahawa tujuan yang baik mesti juga memakai cara yang baik.
 
Sayangnya, prinsip ini kurang difahami atau sengaja disalah faham malah oleh umat Islam sendiri.
 
Satu contohnya, persepsi sebahagian Muslim bahawa manakala dalam kehidupan ukhrawi mereka menerima hukum agama, dalam urusan duniawi pula mereka beranggapan semuanya perlu memanfaatkan rasional (kebijaksanaan) sesuai dengan situasi dan maslahat umum.
 
Walhal, dalam Islam segala di langit dan di bumi adalah kepunyaan Allah dan harus tertakluk pada hukum-Nya.
 
Ertinya, dalam urusan duniawi pun, faktor Ilahi mesti diambil kira.
 
Tiada cara yang boleh bebas mutlak daripada hukum atau ketetapan Allah dalam mengatur perjalanan alam atau sunatullah.
 
Anda mungkin arkitek hebat yang mampu membina mahligai indah di sebuah kawasan dalam zon lilitan gunung berapi.
 
Namun, anda pasti akan berhadapan bahaya diancam gempa bumi!
 
Tujuan baik itu tidak boleh dicemari cara yang sanggup mengetepikan pertimbangan moral.
 
Jika cara yang dipakai melemahkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan, maka tujuan baik yang hendak dicapai dengan cara yang salah itu akan menyongsong masalah sosial seperti salah laku seks dan perzinaan.
 
Akibatnya, kehidupan akan menjadi lebih berantakan.
 
Maka itu, pupuklah niat dan tujuan yang baik.
 
Laksanakan tujuan yang baik itu dengan cara yang baik juga demi keberhasilan pekerjaan dan kehidupan.