You are hereBlogs / Maarof Salleh's blog / KEMBALIKAN TUJUAN ASAL KORBAN
KEMBALIKAN TUJUAN ASAL KORBAN
Makalah berikut diterbitkan di Berita Harian Singapura pada 4 November 2011.
Oleh Maarof Salleh
UMAT Islam sekali lagi menyambut Aidiladha. Sekitar 2,180 orang jemaah Singapura yang berangkat ke tanah suci bagi menunaikan fardu haji tentu berasa beruntung terpilih menjadi tetamu Allah.
Bagaimana pula dengan sekitar 600 orang yang terkandas hajat mereka dek gagal mendapatkan visa? Umumnya pasti hampa.
Namun, ada yang melihatnya secara positif sebagai ujian Allah agar membuat persiapan lebih rapi.
Tidak seperti menyambut Hari Raya Aidilfitri, cabaran yang dihadapi menanti Aidiladha tampak lebih besar dan lebih memerlukan pengorbanan.
Antara pengorbanan itu adalah kesediaan secara psikologi menerima kemungkinan gagal berangkat ke tanah suci di sebalik banyak persiapan yang sudah dilakukan.
Pengorbanan lain termasuk perbelanjaan besar untuk mengerjakan haji. Harga pakej haji terus meningkat saban tahun. Bagi kalangan jemaah yang berpendapatan rendah, hal ini menuntut penabungan yang lama.
Kegelisahan menanti pengesahan keberangkatan turut membebani kebanyakan jemaah. Ketika di tanah suci, terdapat kerenah lain dalam melaksanakan rukun dan wajib haji.
Berada dalam lautan manusia yang berjumlah 2.5 juta (menurut berita rasmi tetapi dianggarkan lebih daripada itu) dari seluruh pelosok dunia menuntut penyesuaian dan toleransi, terutama bagi mereka yang mengerjakan haji kali pertama.
Sikap budiman seperti mendahulukan yang dahulu atau beradab pada yang berstatus mulia memang sukar dilaksanakan dalam suasana berasak-asak di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan kemudian di Mina, atau melontar tiga jamrah, hatta ketika bersai antara dua bukit, Safa dan Marwah, serta bertawaf (mengelilingi Kaabah).
Bagi kita yang tidak melaksanakan ibadah haji pula, ada cabaran lazim menjelang Aidiladha - pengurusan ibadah korban yang cukup bekalannya dan tepat masanya.
Umumnya kambing menjadi pilihan sebagai haiwan korban di sini.
Sejauh ini pula bekalan kambing hanya datang dari satu sumber sejauh 2,700 kilometer iaitu Australia.
Timbul persoalan bagaimana mengangkutnya untuk dapat sampai dengan selamat pada masa yang diperlukan.
Semua aspek pengendalian haiwan korban terpapar pada kosnya yang terus meningkat - serupa trend harga pakej haji.
Maklum balas umum turut meluahkan rasa kurang senang dengan kenaikan secara mendadak harga haiwan korban di sini tahun ini.
Kesannya: ada beberapa masjid dilaporkan mengurus sendiri urusan korban tahun ini demi menjimatkan kos.
Sementara itu, trend melaksanakan ibadah korban di luar negara pula kian bertambah.
Urusan haji dan korban boleh 'terjejas' kemurniannya kerana adanya pertimbangan-pertimbangan lain, termasuk pertimbangan komersial.
Memang kededua urusan itu melibatkan persoalan ibadah dan komersial.
Ibadah haji merupakan rukun Islam yang kelima - wajib ke atas seorang Muslim yang sihat dan mampu sekali seumur hidupnya.
Ibadah korban dengan menyembelih haiwan korban pula satu syiar agama yang amat digalakkan.
Namun, agar berjaya melaksanakan kededua ibadah itu, pengurusan rapi diperlukan.
Untuk haji diperlukan pengangkutan dan penyediaan prasarana sepanjang berada di tanah suci seperti perkhidmatan layanan, makanan dan tempat penginapan.
Bagi ibadah korban pula, perlu ada pihak yang cekap mengendalikan urusan membawa masuk kambing dari negara pembekal dengan menggunakan pengangkutan yang menjamin haiwan itu tiba dengan selamat dan tepat pada masa yang dikehendaki.
Faktor pengurusan inilah yang melibatkan unsur komersial. Akan ada harga bagi setiap khidmat pengurusan yang disediakan.
Lazimnya dalam ekonomi moden, harga pasaran ditetapkan oleh interaksi jumlah permintaan dengan jumlah penawaran.
Pembekal barangan atau perkhidmatan (misalnya GSA bagi urusan haji, kontraktor pembekal kambing bagi korban) tidak mungkin dapat beroperasi tanpa keuntungan.
Keuntungan sering diperolehi dengan menaikkan harga dan jarang dengan merendahkan kos.
Lazimnya, terdapat beberapa faktor tambahan yang menyebabkan kos bertambah.
Misalnya, kemasukan 'orang tengah' yang menuntut upah khas kerana membekalkan GSA dengan jemaah. Atau dalam ibadah korban, ada motif lain berupa usaha mencari dana menerusi projek korban.
Persoalan utama yang mesti dibereskan semua pihak yang terlibat ialah mengembalikan semula niat mengerjakan ibadah yang dituntut agama itu kepada tujuan asal ibadah tersebut diperintahkan.
Mengerjakan haji dan melaksanakan korban mesti dilakukan sebagai ibadah semata-mata kerana mendapatkan reda Allah.
Jika terselit niat-niat lain, ibadah-ibadah tersebut akan akhirnya menjadi pekerjaan yang sia-sia.
Adakah ini bermakna kededua ibadah itu boleh dikerjakan secara percuma?
Bukan itu maksudnya.
Menyediakan khidmat mengurus ibadah haji adalah khidmat halal yang perlu diberi ganjaran dalam bentuk bayaran atau upah. Demikian juga dengan urusan membekalkan haiwan korban.
Bagaimanapun, perlu ada ketetapan dalam menentukan bayaran atau upah yang dibolehkan kepada syarikat pembekal barangan atau perkhidmatan (misalnya GSA bagi haji dan kontraktor pembekal bagi korban) supaya kadar untung berpatutan. Jika tidak, dikhuatiri timbul pula isu 'riba' yang diharamkan agama.
Kemasukan unsur-unsur sampingan yang melonjakkan harga barangan dan perkhidmatan seperti upah orang tengah dalam ibadah haji atau motif mencari dana menerusi projek korban perlu disemak.
Satu keputusan yang muktamad diperlukan agar kehadiran mereka tidak memburukkan lagi keadaan harga pasaran.
Masalah ketidakpastian jumlah jemaah yang dapat berangkat setiap tahun perlu diatasi dengan merundingkan peruntukan jumlah jemaah setiap tiga hingga lima tahun sekali, bukan secara tahunan seperti sekarang.
Dengan mengetahui peruntukan muktamad dalam jangka masa yang lebih panjang itu, faktor kemantapan dapat berlaku yang membantu menurunkan kadar kegelisahan para jemaah secara am.
Pihak GSA sendiri wajar menimbangkan secara serius manfaatnya mereka menyatukan operasi pengurusan haji sebagai satu entiti memandangkan bilangan jemaah Singapura memanglah kecil.
Menteri Wakaf Arab Saudi pernah memberitahu saya, ketika menemuinya bersama rombongan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dahulu, rasa anehnya melihat begitu banyak GSA yang menguruskan perkhidmatan haji bagi jumlah jemaah Singapura yang amat kecil.
Beliau bertanya mengapa mereka tidak memanfaatkan prinsip 'ekonomi berskala' walhal Singapura cukup dikenali sebagai negara yang cekap mengurus ekonomi.
Allahuakbar, allahuakbar, allahuakbar, walillahilhamd.
Mari bersama memantapkan pengorbanan!
- Maarof Salleh's blog
- Login or register to post comments







