You are hereBlogs / Maarof Salleh's blog / PENDIDIKAN MEMBINA WATAK
PENDIDIKAN MEMBINA WATAK
Makalah berikut diterbitkan di Berita Harian Singapura pada 18 November 2011.
Oleh Maarof Salleh
RAMAI ibu bapa, terutama generasi lama, tentu menyambut baik hasrat Menteri Pendidikan Heng Swee Keat menjadikan pembinaan watak antara matlamat utama sistem pendidikan negara ini.
Mungkin ada orang menganggap ini bak kata pepatah Inggeris, better late than never (biar lambat asal jangan tak ada).
Seperti negara-negara baru yang lain, pendidikan di Singapura mengalami evolusi berdasarkan faktor-faktor yang banyak mempengaruhi perubahan kehidupan rakyatnya.
Antara zaman berpemerintahan sendiri (1959) sehingga awal merdeka (1970), Singapura perlu menyusun semula struktur ekonominya daripada bergantung pada perdagangan entrepot kepada perindustrian terutama dalam sektor pengilangan. Maka, sekolah menjadi wadah mencetak pelajar kolar biru.
Setelah timbul persaingan dari negara-negara lain yang menceburi bidang perindustrian giat buruh, Singapura perlu beralih kepada perindustrian berteknologi tinggi demi meraih daya saing baru.
Selain keperluan ekonomi negara, pendidikan juga dipengaruhi faktor-faktor bukan ekonomi.
Singapura sebuah watan masyarakat majmuk dengan majoriti penduduknya asal pendatang.
Hal ini memerlukan usaha menjalin mereka dalam sebuah ikatan kenegaraan tanpa mengetepikan sifat budaya masing-masing demi memacu kemajuan.
Faktor ini menjadi latar belakang pelaksanaan dasar dwibahasa dalam sistem pendidikan.
Inggeris sebagai bahasa kerja untuk jalinan antarabangsa, istimewa dalam perdagangan dan ekonomi, manakala bahasa ibunda pula dipelajari sebagai pemantap budaya setiap etnik.
Jadi, perubahan tekanan pada tujuan pendidikan itu merupakan proses yang boleh dijangkakan.
Hakikatnya, taraf pendidikan di negara ini dianggap antara terbaik di dunia, namun ruang untuk pembaikan sentiasa terbuka.
Bidang pendidikan memang cukup luas cakupan. Hal ini diakui dan dirumuskan oleh banyak tokoh pendidikan.
Ahli falsafah Inggeris, John Stuart Mill, menekankan pendidikan harus mencakup usaha 'memahami daya usaha yang secara tidak langsung terdapat pada watak dan fakulti atau sumber bakat manusia'.
Pujangga British, John Milton, merumuskan bahawa pendidikan yang lengkap dan sempurna itu adalah 'pendidikan yang membolehkan manusia bertindak secara adil dan saksama, mahir serta bertimbang rasa dalam segala bidang kerja baik di sektor swasta mahupun di sektor awam pada setiap masa, baik pada masa damai mahpun pada masa perang'.
Pakar pendidikan, W. R. Niblett, pula menegaskan betapa 'matlamat akhir pendidikan bukanlah 'kebahagiaan' tetapi membangunkan keupayaan yang lebih besar untuk sedar; untuk meningkatkan persefahaman di kalangan manusia - mungkin konflik, perjuangan dan penderitaan tidak dapat dielakkan bagi pencapaian matlamat tadi - supaya tindakan-tindakan yang benar (hak) menjadi satu kebiasaan'.
Semua pandangan tersebut menunjukkan pendidikan sebagai proses sebuah negara memberi latihan akliah, jasmaniah dan rohaniah kepada rakyatnya bagi tujuan melahirkan insan berbudaya tinggi iaitu sanggup melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan baik.
Ringkasnya, pendidikan bertujuan membentuk warga negara yang berguna.
Mengapakah terdapat kesungguhan menjadikan pembinaan watak tujuan pendidikan kita kini?
Memang tiada pembahasan khas mengenai hal ini. Namun, berdasarkan ucapan dan pernyataan di kalangan kepimpinan politik serta masyarakat pendidik dan sekolah, terdapat semacam kebimbangan mengenai watak warga Singapura kurang menonjolkan sifat peduli atau tinggan rasa (empati) pada golongan susah.
Bahkan, kesetiaan warga kita pada watan kadang-kadang dipersoal.
Sekolah dinilai sebagai tempat utama menyemai perwatakan rakyat demi membina jalinan sosial dalam kehidupan masyarakat yang sengit bersaing.
Kebimbangan itu memang berasas jika kita memerhatikan beberapa perkembangan di sekeliling.
Meningkatnya kes pengaduan pengabaian orang tua oleh anak-anak serta pendakwaan ibu bapa ke atas anak-anak mereka yang gagal memberi nafkah.
Pendedahan kes penipuan dan pecah amanah yang pelakunya terdiri daripada orang muda.
Kebanyakan jenayah itu berlaku dek beban hutang dan kecenderungan mengamalkan gaya hidup mewah.
Perihal anak-anak yang terbiasa keperluannya dibantu orang gaji sehingga berat tulang.
Kes pemuda Perkhidmatan Negara (NS) yang menyerahkan beg sandangnya dipikul oleh amahnya pernah menarik perhatian umum.
Kian meluas cakap-cakap bahawa warga Singapura yang mewah lebih memilih berhijrah daripada menghadapi masa sukar di watannya.
Anak saya lama menetap di Australia. Pada suatu hari keretanya berlanggar dengan kereta lain. Reaksi spontan kededua pemandu ialah segera bersemuka untuk bertanya keadaan masing-masing sambil menawarkan bantuan.
Katanya, reaksi spontan demikian berlaku dalam kebanyakan kemalangan yang pernah disaksikannya.
Situasi ini seperti tidak ketara di sini. Sering pemandu (jika selamat) akan segera keluar dari kenderaannya dan secara spontan memeriksa kerosakan keretanya sendiri.
(Mungkin secara spontan juga menilai kos membaiki kerosakan yang bakal ditanggungnya).
Yang diutamakan ialah 'kebajikan' kenderaan, bukan kebajikan si pemandu!
Walaupun mungkin ada pertimbangan lain, contoh sikap begini menunjukkan pembangunan watak yang kuat masih belum menjadi sebahagian ciri yang meyakinkan dalam sistem pendidikan kita.
Oleh itu, penekanan baru pada sistem pendidikan nasional wajar diberi sokongan agar berjaya dilaksanakan.
Seyogia, ia suatu proses yang panjang untuk diraih hasilnya.
Sebenarnya, proses pembinaan watak harus bermula di rumah.
Pepatah Arab mengatakan 'ibu adalah sekolah pertama bagi seorang anak'.
Kedekatan ibu serta naluri keibuan yang sentiasa mahu memastikan anaknya berada dalam kebaikan menjadi aset berharga baginya memainkan peranan membina watak si anak.
Dalam situasi moden hari ini, peranan ibu harus sama menyertakan si bapa.
Di peringkat awal pengasuhan anak, Imam Al-Ghazali memberikan panduan yang mudah:
Dedahkan sebanyak mungkin anak kecil itu dengan kebaikan; lindungi anak itu sebaik yang mungkin daripada terdedah kepada kejelikan.
Melanjutkan proses itu di sekolah sudah tentu satu bonus kepada semua.
Proses membina watak anak di rumah akan berhasil dengan berkesan jika ibu (dan bapa) berjaya menjadi contoh teladan.
Kini, apabila proses membina watak dilanjutkan di sekolah, guru-guru pula harus berperanan yang sama.
Jika tidak, akan berlakulah fenomena bak digambarkan pepatah Melayu:
Guru kencing berdiri anak murid kencing berlari!
Bagaimanakah seharusnya respons masyarakat Melayu dengan penekanan baru dalam pendidikan ini?
Apakah badan-badan Melayu perlu menyemak usaha merapatkan jurang pencapaian akademik, atau peratusan kelulusan Matematik?
Apakah kita tidak perlu terus ghairah dalam usaha melahirkan lebih ramai lulusan di bidang profesional?
Matlamat membina watak mulia dan kuat merupakan dambaan setiap sistem pendidikan dan masyarakat.
Perubahan baru pada sistem pendidikan nasional seharusnya menginsafkan kita supaya mempunyai pendirian sendiri yang tepat dan betul dalam urusan pendidikan anak-anak.
- Maarof Salleh's blog
- Login or register to post comments








Assalamualaikum,
This time I agree with your article 100%. We need to zero in on values before we can talk of Islamic Reform or Re-Interpretation.
Wassalam
Dr Syed Alwi